About Us

Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK) dengan kerjasama Kelantan ICT Gateway, Dewan Usahawan Kelantan (DUKE) dan Pupuk Event buat julung kalinya akan menganjurkan eKarnival Usahawan Kelantan 2021 (eKUK 2021) secara dalam talian (online) selama sebulan bermula 1 hingga 31 Oktober 2021.

eKUK 2021 merupakan usaha berterusan kerajaan untuk menyokong dan memacu usahawan Kelantan untuk bangkit semula dan berkembang bersama sebagai sebuah komuniti usahawan yang saling berhubungan, bantu membantu dan bekerjasama dalam mengembangkan semula perniagaan pasca COVID-19.

eKUK 2021 adalah platform acara atas talian untuk usahawan- usahawan Kelantan meningkatkan ilmu pengetahuan, mendapatkan pelbagai informasi bermanfaat untuk perniagaan, mengembangkan jaringan perniagaan, mempromosi dan memperluas jangkauan pasaran perniagaan mereka.

Dengan situasi penularan COVID-19 yang masih tidak menentu, eKUK2021 akan diadakan secara online sepenuhnya dan menawarkan pelbagai ciri interaktif digital bertujuan untuk mencipta suasana dan pengalaman yang sama seperti acara fizikal.

eKUK 2021 menggunakan tagline #MemacuPerniagaanMelangkahKehadapan selari dengan objektif utama program untuk memacu dan mempersiapkan usahawan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan dalam norma baharu  pasca pandemik COVID-19.

Pengisian eKarnival Usahawan Kelantan 2021 secara dalam talian meliputi Karnival Jualan e-Dagang KALASHOP, ePameran Digital, Webinar dan Bual Bicara dan pelbagai aktiviti berbentuk kemeriahan maya melalui penstriman langsung.

Kerajaan berharap program ini mampu menyuntik semangat baharu kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan meningkatkan iltizam mereka untuk memacu perniagaan dalam mengembangkan perniagaan bagi menghadapi cabaran ekonomi pasca COVID-19.   Program ini juga diharapkan dapat memperkasakan ekonomi digital melalui lonjakan perniagaan dengan penerimagunaan e-dagang,  pengembangan ekonomi gig,  inovasi syarikat pemula (start-up) dan pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui sesi webinar, bual bicara dan bimbingan kepada usahawan.

KARNIVAL JUALAN E-DAGANG KALASHOP

Karnival jualan online melalui platform e-Marketplace Kalashop. Promosi jualan merangkumi potongan harga, rebat dan baucer penghantaran kepada pengguna untuk mendorong lebih banyak pembelian dalam talian produk-produk usahawan tempatan.

PAMERAN DIGITAL

Pameran Digital menyasarkan sebanyak 100 buah Booth Digital melibatkan penyertaan booth-booth pameran agensi kerajaan, NGO, korporat dan usahawan. Booth Digital boleh dilawati oleh orang ramai untuk berinteraksi dengan para pempamer bagi mendapatkan maklumat produk dan perkhidmatan mereka serta membuat pembelian secara online melalui platform jualan masing-masing.

WEBINAR DAN BUAL BICARA

Sebanyak lebih 30 siri webinar berbentuk taklimat, bual bicara dan forum keusahawanan akan diadakan sepanjang eKUK 2021.  Pengisian webinar memfokuskan kepada perkongsian maklumat dan ilmu perniagaan bersama agensi, NGO, tokoh korporat dan usahawan mengikut bidang kepakaran masing-masing yang boleh memberi panduan untuk usahawan menguruskan perniagaan dengan lebih berdaya saing.

PENSTRIMAN LANGSUNG  (LIVE STREAMING)

Sesi live streaming akan memfokuskan kepada pengisian berbentuk perkongsian santai bersama usahawan-usahawan, sesi demo dan promosi produk terpilih, pertandingan kuiz dan persembahan artis secara dalam talian.